Pengarah Urusannya, Dr. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, lebih 430,000 individu telah mendaftar setakat ini dengan ejen pencarian jodoh digital itu termasuk mereka dari negara Brunei dan Singapura.

Katanya, daripada jumlah itu didapati lebih1,000 pasangan telah menemui jodoh mereka melalui aplikasi yang dilancarkan sejak Mac tahun lalu.

Aplikasi itu dibangunkan bersama kakaknya, Wan Nuradila Huda dan rakannya, Muhammad Azrain Kamaruddin.

"Berdasarkan rekod ketika ini, hampir 9,000 lagi pasangan yang bakal menemui jodoh masing-masing.

"Sasaran kita sehingga hujung tahun ini adalah meningkatan jumlah pengguna sehingga 500,000," katanya ketika ditemui di Seksyen 14, di sini hari ini.

Wan Hasifi memberitahu, aplikasi tersebut berlandaskan syariah dan data pengguna adalah selamat dan akan dirahsiakan.

Kata beliau, konsep aplikasi itu adalah pasangan tidak berbual secara berdua dan mereka akan dipantau oleh 'orang ketiga' iaitu pekerja kami bagi menggelakkan sebarang gangguan dan selaras dengan keperluan syarak.

"Semua aktiviti dalam aplikasi ini dipantau oleh 12 orang pekerja atau admin 24 jam sehari. Oleh itu, segala perbualan menerusi aplikasi kami ini akan dipantau dan ditapis.

"Kami tidak membenarkan perbualan yang berunsurkan lucah, ganas, menyinggung emosi dan menyentuh perasaan orang lain," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna yang mahu menggunakan aplikasi ini boleh mendapatkan pakej yang bermula serendah RM70.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemampuan aplikasi ini boleh dilayari dan digunakan secara percuma, namun aksesnya adalah terhad," ujarnya.

Justeru, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan aplikasi ini, mereka boleh melayari laman sesawang www.baituljannah.com, atau laman Facebook rasmi iaitu Baituljannahofficial atau Instagram, baituljannah. - K! ONLINE