Pengarah Urusannya, Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, sehingga kini lebih 430,000 individu telah mendaftar de­ngan Baituljannah.com termasuk dari negara Brunei dan Singapura.

Katanya, lebih daripada 1,000 pasangan telah menemui jodoh masing-masing melalui aplikasi yang dilancarkan pada 2018 itu.

“Sejak dilancarkan pada 31 Mac tahun lepas, aplikasi kami telah berjaya menarik jumlah pendaftaran yang menggalakkan, termasuk lebih 40,000 dari Brunei dan Singapura.

“Hampir 9,000 lagi pasangan bakal menemui jodoh menerusi platform ini. Sasaran kami sehingga hujung tahun ini adalah meningkatkan jumlah pengguna sehingga 500,000 orang,” kata­nya ketika ditemui di Seksyen 14 di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Hasifi berkata, aplikasi yang dibangunkan bersama dua lagi individu iaitu kakaknya, Wan Nuradila Huda dan rakannya, Muhammad Azrain Kamaruddin itu adalah berlandaskan syariah dan data pengguna dijamin selamat serta dirahsiakan.

“Semua aktiviti dalam aplikasi ini dipantau oleh 12 orang pekerja atau admin pada 24 jam sehari. Segala perbualan menerusi akan dipantau dan ditapis oleh admin.

“Kami tidak membenarkan perbualan berunsur lucah, ganas, menyinggung emosi dan menyentuh perasaan orang lain. Admin kami akan terus memadam komen-komen yang tidak sepatutnya,” katanya.

Jelas Wan Hasifi, konsep aplikasi itu adalah pasangan tidak berbual secara berdua dan mereka akan dipantau oleh ‘orang ketiga’ iaitu pihak admin bagi menggelakkan sebarang gangguan dan selaras dengan keperluan syarak.

Tambahnya, bagi pengguna yang berminat, terdapat beberapa pakej ditawarkan Baituljannah bermula pada harga serendah RM70.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemampuan, aplikasi kami ini boleh dilayari dan digunakan secara percuma, namun pada akses yang terhad,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut ber­kenaan aplikasi tersebut boleh melayari laman web www.baituljannah.com, atau laman sosial Facebook:Baituljannahofficial dan Instagram:baituljannah.