Azman, yang telah menerajui Khazanah selama 14 tahun, turut mengingatkan kakitangan organisasi itu untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad meskipun terdapat perkara-perkara karut yang timbul daripada sesetengah pihak.

“Anggaplah kesakitan dan ketidakadilan sebagai satu pe­ngorbanan, malah niatkan, bersihkan tujuan kita serta berkhid­mat dengan sepenuh hati dan sumber yang ada.

“Saya ingin mengucapkan selamat tinggal dan mendoakan kejayaan kepada Khazanah dan negara serta berjanji dan berharap agar dapat menyumbang dan menjadi berguna dalam sebarang cara yang saya mampu, insya-Allah,” katanya di sini semalam.

Azman menyatakan, dalam mesej yang disampaikan kepada rakan sekelas beliau daripada Kolej Melayu Kuala Kangsar yang turut dikongsi dalam surat berkenaan, adalah penting untuk membersihkan niat dan membantu dalam usaha pembentukan negara atau pembentukan semula negara dan merapatkan jurang yang ada serta bersatu menyokong Perdana Menteri.

Katanya, Tun Mahathir telah bertemu beliau pada 31 Julai lalu, menjadikannya pertemuan terakhir dalam ribuan perjum­paan sepanjang beliau berkhidmat di Khazanah.

“Saya mempunyai pertemuan selama 42 minit bersama Tun Mahathir awal hari ini, yang diberitahu merupakan satu perjumpaan yang agak panjang.

“Alhamdullilah saya percaya ia merupakan satu pertemuan yang baik dan penuh hormat.

“Beliau telah meminta saya untuk menulis bagaimana Kha­zanah dapat membantu kerajaan mengurangkan hutang, sungguhpun selepas saya me­ninggalkannya, selain bertanya apa yang akan saya lakukan selepas ini,” katanya.

Azman menambah, ketika itu, beliau telah meminta izin Tun Mahathir untuk memperjelaskan perkara berkenaan pelbagai perkara buruk dan tidak adil yang disuarakan sesetengah kumpulan.

“Saya gembira Tun memberikan saya ruang dan tumpuan,” katanya.

Azman berkata, sepanjang perkhidmatannya, nilai bersih dana Khazanah telah berganda kepada RM115.6 bilion pada 31 Disember 2017 daripada RM33.3 bilion pada 14 Mei 2004.

“Seperti yang dimaklumkan dalam dialog kakitangan kami baru-baru ini, jumlah keuntu­ngan dalam tempoh itu adalah kira-kira RM100 bilion,” katanya.

Beliau menambah, 10 syarikat yang meraih keuntungan terbaik merangkumi kira-kira RM92 bi­lion, sementara 10 kerugian terbesar berjumlah kira-kira RM19 bilion.

Daripada jumlah kerugian itu, Malaysia Airlines Bhd. merangkumi RM8.4 bilion, Silterra (RM5.5 bilion) dan Olivant (RM1.7 bilion).

Jelasnya, walaupun kerugian yang dialami sejak bertahun-tahun lalu adalah besar, namun ia merupakan sebahagian daripada operasi pelaburan yang sentiasa terdedah kepada risiko.

Azman berkata, kerugian pelaburan dalam bank Switzerland, UBS Group AG, adalah sebanyak RM1.7 bilion dan bukannya RM3 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Selain itu, pelaburan sebanyak RM80 juta dalam pembekal pakaian dalaman wanita dalam talian di India, Ziwame, sememangnya dianggap satu kebimbangan tetapi ia baru saja mencapai prestasi sukuan terbaik.

“Kami kekal yakin akan mampu mendapat semula semua atau sebahagian besar daripada yang dilaburkan dalam tempoh sederhana,” katanya.