Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, sasaran itu bakal dipacu oleh prospek positif pasaran domestik yang dilihat semakin me­ngukuh pada tahun ini.

“Ekonomi Malaysia dilihat semakin mengukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang sihat, pe­ngukuhan ringgit, peningkatan harga minyak mentah serta pengaliran masuk pelaburan dari luar yang memacu pasaran ekuiti.

“Dengan didorong oleh sentimen pelabur yang bertambah baik semenjak tahun lepas, kami optimis 2018 akan menjadi tahun yang positif bagi pasaran modal, sekali gus merancakkan sektor kewangan berlandaskan Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dana ekuiti BIMB-Arabesque Asia-Pacific Shariah-ESG di sini baru-baru ini.

Menurut Najmuddin, pada tahun ini, BIMB Invest akan memberi penekanan terhadap usaha untuk memperkukuhkan dana ekuiti Syariah-ESG (Alam Sekitar, Kemasyarakatan dan Ketelusan Tadbir Urus) dengan lebih tumpuan kepada kaedah analisis big data.

“Dana Syariah-ESG memberi penilaian yang lebih terperinci terhadap syarikat-syarikat dari segi perspektif risiko kewangan, sekali gus membantu kami untuk mengenalpasti syarikat yang mempunyai prestasi kewangan yang mampan.

“BIMB Invest telah memfokuskan kepada segmen ini sejak 2015 dan sehingga kini daripada jumlah keseluruhan AUM, lebih daripada RM300 juta terdiri daripada dana Syariah-ESG,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya me­ngenai strategi jangka panjang BIMB Invest, Najmuddin berkata, pihaknya menjangkakan untuk mengukuhkan portfolio dana ekuiti dengan sasaran untuk meningkatkannya kepada 50 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pada masa ini, 70 peratus portfolio BIMB Invest terdiri daripada dana pendapatan tetap, dan selebihnya sebanyak 30 peratus terdiri daripada dana ekuiti,” ujarnya.