Beliau berkata, pada tahun lepas, Malaysia mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM998 bilion, kurang 0.2 peratus untuk melepasi ambang RM1 trilion.

“Bagaimanapun pada tahun ini, kami yakin untuk menca­tatkan pertumbuhan eksport sebanyak 3.4 peratus dan diharap kami dapat mencapai sasaran tersebut (RM1 trilion),” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Melangkau Paradigma di sini semalam.

Kenyataan itu sejajar dengan keyakinan yang dinyatakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) baru-baru ini bahawa jumlah eksport negara boleh melepasi paras RM1 trilion berikutan pemangkin dan prospek ekonomi yang positif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Latiff Wan Musa berkata, dalam tempoh Januari hingga Mei lepas, jumlah eksport Malaysia berjumlah RM405.36 bilion, meningkat 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Darell, Malaysia mempunyai pelbagai jenis pasar­an dan ciri-ciri unik itu telah menarik ramai pelabur untuk mewujudkan perniagaan mereka di sini.

Mengulas mengenai runding­an untuk mewujudkan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), beliau berkata, negara-negara anggota telah menyelesaikan pusingan terkini perbincangan di Australia baru-baru ini.

“Kami mencari persetujuan untuk alasan bagi memuktamad­kannya untuk Malaysia dan sembilan negara-negara ASEAN yang lain serta enam negara dia­log.

“Kami bakal mengadakan mesyuarat selepas minggu depan di Beijing dan saya akan menghadirinya bagi pihak kerajaan, antaranya bagi memberi hala tuju ASEAN yang lebih baik. Diharap kami dapat memuktamadkannya pada akhir tahun ini,” katanya.

RCEP merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai gabungan jumlah penduduk sebanyak 3.4 bilion dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$49.5 trilion (RM203.71 trilion) atau 39 peratus daripada KDNK global. – Bernama