Mohammad Hussin
MOHAMMAD HUSSIN

Dalam tempoh promosi, pelabur hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM100 berbanding harga biasa iaitu RM180 untuk satu kontrak Hibah Amanah (pelabur Islam) atau Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, promosi itu bertujuan untuk menggalakkan pelabur mengambil langkah proaktif dalam me­nguruskan harta berbentuk unit amanah ASNB ketika mereka masih hidup supaya ia dapat dituntut dengan mudah oleh waris kelak.

“Berdasarkan pengalaman kami, pelaburan dalam unit amanah ASNB yang merupakan pelaburan tunai biasanya diperlukan oleh waris untuk menampung keperluan sara hidup sementara me­nunggu harta lain yang ditinggalkan si mati dapat diagihkan.

“Dengan adanya Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelaburan dalam unit amanah ASNB boleh dituntut terlebih dahulu dan waris hanya perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 hari untuk menerima unit amanah yang ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Berbeza dengan konsep penama, ia bertindak sebagai pelaksana untuk wang yang di­tinggalkan tetapi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah menjadikan wa­ris penerima mutlak untuk wang yang dinamakan kepadanya.

Menurut undang­-undang Malaysia, memandangkan unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian, proses tuntutan unit amanah ASNB adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran.

Menurut Mohammad, sekiranya pelabur melanggan Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, penerima yang telah ditetapkan tidak perlu mendapatkan surat kuasa atau probet.

“Untuk membuat tuntutan, waris hanya perlu ke mana-mana cawangan ASNB,” katanya.