Perjanjian yang melibatkan pelaburan bernilai RM975 juta itu akan membolehkankan syarikat terlibat dalam perkhidmatan saltelit untuk tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ASN Satellites, Andrew Lee berkata, menerusi pelaburan tersebut Malaysia bakal dijadikan sebagai hab pasaran tunggal oleh syarikat tersenarai dari China itu bagi melebarkan sayap perniagaan mereka di rantau ASEAN.

“Perjanjian ini akan memberi fokus antaranya kepada pembangunan bandar pintar dan perkhidmatan jalur lebar.

“Kestabilan politik dan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan menjadi antara faktor yang menarik perhatian pelabur untuk mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian perkongsian strategik ekuiti antara ASN Satellites dan Tatwah Group di sini semalam.

Perjanjian tersebut ditandatangani, Andrew Lee dan Pengerusi Tatwah Group, Cai Xiaoru.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Andrew berkata, selain China, terdapat beberapa perniagaan dari negara lain seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah turut berminat untuk meneroka pasaran ASEAN.

ASN Satellites merupakan syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam bidang angkasa dan segmen darat bagi perkhidmatan jalur lebar satelit serta penyelesaian data.