Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, model transformasi keempat dengan penetapan piawaian baharu itu ditawarkan dalam dua pilihan va­rian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance pada anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200.

Kenderaan SUV tujuh tempat duduk itu menawarkan lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.

“Model ini dijangka melengkapkan barisan produk sedia ada kami dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, syarikat menyasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit bagi tahun 2019.

“Perodua Aruz turut ditetapkan dengan piawaian terbaharu iaitu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan, yang mana ia menerima pengiktirafan lima bintang bagi ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta Baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP),” kata­nya dalam satu kenyataan yang dikeluar­kan di sini semalam.

Zainal Abidin menjelaskan, SUV berkenaan dikuasakan de­ngan enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dan Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi automatik melalui kawalan secara automatik (E-AT)

“Ia turut digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l dan memboleh­kannya diiktiraf oleh kerajaan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Jentera ini turut dileng­kapi lampu depan LED bersama fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance) selain digayakan dengan rim aloi dua tona 17 inci pada ketinggian 220 milimeter (mm) dari aras tanah,” jelasnya.

Dikatakan enjin Perodua Aruz berkod 2NR-VE adalah sama de­ngan enjin yang digunakan pada model Myvi, Toyota Avanza,­ Toyota Rush dan Daihatsu Xenia selain Daihatsu Terios yang dilancarkan bagi pasaran Indonesia pada November 2017.

Perodua Aruz dilengkapi akses pintar dengan butang penghidup enjin manakala bagi varian ­Advance ia tambah dengan lampu kabus dan rel bumbung sebagai penambah gaya.

Bagi penampilan lebih eksklusif varian Advance disempurnakan de­ngan kemasan kerusi kulit dan stereng yang dibalut dengan kawalan terima panggilan serta perakam video memandu bersepadu selain dilengkapi port HDMI, Smart Link, Bluetooth dan sistem navigasi.