Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mohd. Maha­yadin berkata, buat permulaan, syarikat bakal melancarkan dua produk terbaharunya iaitu minuman Ice Cool Lemon Tea dan air mineral semula jadi pada bulan Ogos ini.

Menurut beliau, selain produk daripada buatan kilang syarikat, Arrayan juga akan bekerjasama dengan pengeluar bumiputera untuk memasarkan produk-produk lain daripada segmen makanan dan minuman, penja­gaan diri, keperluan rumah dan juga barangan basah.

“Penubuhan Arrayan bertujuan memasarkan pelbagai produk keperluan muslim yang berkualiti tinggi, halal dan sihat serta mampu memenuhi keperluan pengguna setiap hari.

“Ia juga bakal dijadikan platform buat syarikat untuk memasarkan produk muslim halal di seluruh pasar raya besar di seluruh negara, pasaran runcit dan eksport serta membekalkan barangan untuk ditawarkan di Al Haddad Mart, rangkaian pasar raya mini milik Al Haddad Group,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penubuhan anak syarikat baharu, Arrayan dan prapengenalan dua produk baharu keluaran Arrayan serta jamuan hari raya kumpulan di Kedah Halal Park Fasa 2, Kawasan Perindustrian Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Al Haddad, Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin.

Mengulas lanjut, Syed Salahuddin menjelaskan, syarikat bercadang untuk membuka Al Haddad Mart di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jelas beliau, cawangan sulung pasar raya mini yang akan menawarkan pelbagai produk muslim itu akan dibuka di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, rangkaian tersebut akan diuruskan oleh syarikatnya manakala cawangan seterus seperti di negeri-negeri lain bakal ditawarkan kepada para pengedarnya yang berminat, berkelayakan dan berpengalaman.

“Kami sedang berbincang dengan pengedar berpotensi untuk menawarkan pakej perniagaan bagi mengusahakan Al Haddad Mart di seluruh negara.

Tambah beliau, modal yang diperlukan ialah kira-kira RM300,000 bergantung kepada lokasi, saiz cawangan dan kos lain.

“Syarikat akan membantu mereka dalam aspek pemasaran dan promosi,” katanya.

Sebelum ini, produk keluaran kumpulan hanya ditawarkan melalui rangkaian pemasarannya yang besar dikuasai oleh 500,000 pengedar manakala 500 stokis di seluruh negara.

“Ini merupakan masa terbaik buat syarikat mempromosikan produk dan menawarkannya secara besar-besaran di pasaran terbuka termasuk di pasar raya besar selain mengembangkan pasaran eksport sedia ada yang telah menembusi ke 10 buah negara termasuk pasaran di Asia Tenggara dan China,” jelas beliau.