Tiga produk tersebut ialah Ar-Rahnu Bisnes Yapeim, Ar-Rahnu Emas Yapeim dan Ar-Rahnu Didik Yapeim.

Pengerusi Lembaga Peme­gang Amanahnya, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, sambutan terhadap tiga produk itu sangat menggalakkan sejak ia dibuka kepada orang ramai pada awal Jun lalu.

“Ar-Rahnu Bisnes Yapeim menyasarkan golongan usahawan yang memerlukan modal sehingga RM75,000 bagi setiap transaksi dan RM150,000 secara terkumpul bagi membangunkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan produk baharu Ar-Rahnu Yapeim peringkat nasional di pekarangan cawangan Ar-Rahnu Yapeim Sungai Petani di sini semalam.

Menurut Mohd. Daud, bagi produk Ar-Rahnu Didik Yapeim pula, ia menyasarkan kepada ibu bapa yang memerlukan pinjaman tunai melalui cagaran barang kemas secara mudah dan cepat bagi perbelanjaan anak ke sekolah atau institusi pengajian.

“Bagi Ar-Rahnu Emas Yapeim, ia ditawarkan khusus bagi pembeli emas yang dijual atau dikeluarkan oleh Yapeim Gold Sdn. Bhd. dengan nilai pinjaman dan margin lebih tinggi,” ujarnya.

Mohd. Daud menjelaskan, ketiga-tiga produk itu mempunyai margin dan jumlah pinjaman terkumpul yang lebih tinggi berbanding produk Ar-Rahnu Yapeim sedia ada.

Tambahnya, pelaksanaan tiga produk baharu tersebut adalah bagi memastikan Ar-Rahnu Yapeim lebih kompetitif dan berdaya saing di pasaran sete­rusnya menarik ramai pelanggan menjalankan urusan gadai dengan mereka.