Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan dan Projek Khas UDA Holdings Bhd. (UDA), Datuk Nordin Murat berkata, menerusi aplikasi ini, pelbagai informasi dan maklumat terkini mengenai hartanah dimuatkan sekali gus memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan mengikut cita rasa dan bajet masing-masing.

“Aplikasi ini merupakan kali pertama dibangunkan UDA dan ia akan membolehkan mereka mengakses segala maklumat tanpa berkunjung ke galeri jualan selain mudah berinteraksi dengan pegawai jualan,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Perumahan Colours of UDA @ South di Plaza Angsana Mall di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor, Liow Tai Tung.

Aplikasi Uda Property boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apple Store.

Selain itu, mengulas mengenai Karnival Perumahan Colours of [email protected], Nordin mene­rangkan, program itu telah kali ke­dua dianjurkan oleh anak syarikat UDA, UDA Property di selatan tanah air.

Program berkenaan telah berjaya menarik 10,000 pe­ngunjung selain melibatkan 1,000 jenis hartanah termasuk rumah mampu milik dan lot komersial.

Jelasnya, penganjuran Karnival Colours of UDA @ South itu merupakan salah satu inisiatif syarikat untuk mencipta peluang dan pilihan kepada orang ramai memiliki hartanah di pelbagai lokasi seluruh semenanjung Malaysia bermula harga kos sederhana sehingga ke mewah.

Pada majlis yang sama, UDA turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumba­ngan menerusi Tabung Sayangi Malaysiaku sebanyak RM3,000 kepada tiga rumah kebajikan di Johor Bahru termasuk Pertubuhan Kebajikan Shafar, Rumah Orang-orang Tua Sukarela dan Persatuan Kebajikan Orang-orang Istimewa.