Ketua Strategi Korporat dan Jabatan Prestasi KWAP, Ismail Zakaria berkata, aplikasi yang dilancarkan pada Jun tahun lalu itu telah menerima sambutan menggalakkan dengan hampir 58,000 pengguna setakat ini.

Menurutnya, pihaknya telah menambah baik aplikasi ber­kenaan supaya bersifat lebih interaktif dengan penawaran pelbagai faedah menarik ekoran maklum balas yang diterima pengguna.

Jelasnya, tawaran-tawaran itu disediakan oleh rakan niaga dan rakan kandungan KWAP termasuk KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare), Grab Malaysia, Celcom Axiata Bhd. (Celcom), Mydin Mohamed Hol­dings Bhd. (Mydin) dan Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut beliau, aplikasi MyPesara boleh digunakan oleh semua sama ada golongan pesara, anak-anak mereka ataupun orang biasa.

“Bagaimanapun terpulang kepada rakan niaga kami sama ada untuk mengkhususkan diskaun dan faedah yang ditawarkan menerusi aplikasi ini kepada golo­ngan pesara atau sebaliknya.

“Menerusi pelancaran fasa kedua aplikasi ini, kami berharap jumlah pengguna akan meningkat kepada 60,000 orang menjelang akhir tahun ini dan 120,000 orang pada 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan fasa kedua aplikasi MyPesara di ibu pejabat KWAP dekat sini semalam.

Kini terdapat kira-kira 680,000 pesara kerajaan di Malaysia dan jumlah tersebut bertambah antara 25,000 hingga 30,000 setahun.

lsmail berkata, pihaknya berharap dapat menarik lebih ba­nyak rakan niaga baharu untuk aplikasi berkenaan bagi memperluaskan lagi manfaat dan perkhidmatan kepada pengguna.

Menurutnya, KWAP sedang dalam perbincangan peringkat akhir bersama dua buah institusi iaitu rangkaian kedai buku terkemuka dan sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa bagi tujuan berkenaan.

Aplikasi MyPesara kini boleh dimuat turun di Google Play dan App Store secara percuma.