Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, hanya 3.56 juta pembayar cukai daripada golongan usia tersebut berdaftar dengan pihaknya bagi Tahun Taksiran 2016 dan 3.55 juta bagi Tahun Taksiran 2015.

“Ini menunjukkan program pendidikan cukai yang dilaksana­kan LHDN membuahkan hasil serta berjaya mencapai objektif untuk meluaskan asas percukaian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenya­taan yang diedarkan pada perasmian Kem Cerdik Cukai 2018 di Akademi Percukaian Malaysia di sini semalam.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Sabin berkata, cukai langsung iaitu cukai individu dan korporat kekal sebagai komponen terbesar dan terpenting dalam kutipan hasil kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, ia me­nyumbang kira-kira 42.6 peratus kepada hasil negara dalam bajet kerajaan Persekutuan 2018.

Katanya, jumlah peratusan itu membuktikan betapa penting­nya sumbangan cukai langsung kepada dana pembangunan negara dan berkait rapat dengan ilmu percukaian bagi memboleh­kan rakyat membudayakan, seterusnya meningkatkan pema­tuhan cukai secara sukarela.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dalam ucapannya berkata, pembayar cukai persendirian atau individu di Malaysia adalah jauh lebih rendah berbanding negara maju.

“Kementerian Kewangan akan memastikan setiap cukai yang dibayar digunakan secara optimum supaya pembayar cukai merasakan wang cukai yang dibayar digunakan sebaik mungkin, selain mendapat manfaat nilai daripadanya,” katanya.

Seramai 159 pelajar Tingkatan Enam dan 40 guru pembimbing menyertai edisi kelapan Kem Cerdik Cukai kali ini yang bertemakan Pendidikan Percukaian Ilmu Seumur Hidup.

Penganjuran program tersebut bertujuan menjadikan ge­nerasi muda celik ilmu percu­kaian sebelum melangkah ke alam pekerjaan. – Bernama