Menurut Ke­tua Perniagaan ASEAN, Robin Na, pihaknya akan meningkatkan tekno­logi yang diguna pakai bagi menghasilkan produk lebih berinovatif untuk meme­nuhi ke­perluan pelanggan di seluruh dunia termasuk di pasaran ASEAN.

“Sejak hampir 10 tahun lalu, kami telah membangunkan produk cushion­ dan ia dihasilkan seiring dengan permintaan daripada pe­langgan ­Korea.

“Berdasarkan permintaan yang semakin bertambah, kini kami sedang berusaha untuk meningkatkan teknologi bagi pembangunan produk cushion.

“Ini dapat dilihat pada produk berjenama Laneige Powder Fit Cushion yang telah dipertingkatkan teknologinya ke tahap lebih maju ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena Journey To Beauty, perhimpunan petugas media dari lima buah negara di Asia Tenggara bertempat di ShangriLa Rasa Ria, Kota Kinabalu, Sabah baru-­baru ini.

AmorePacific merupakan peneraju pasaran kosmetik di Korea de­ngan mengeluarkan pelbagai jenama termasuk lima jenama global se­perti Sulwhasoo, Laneige, Mamonde, Etude dan Innisfree.

Robin menjelaskan, produk cushion­ keluaran syarikat mula dieksport pada tahun 2011 dan menye­dari bahawa keperluan pelanggannya di negara lain adalah berbeza.

“Produk cushion yang tahan lama merupakan satu keperluan bagi pe­langgan di Korea tetapi ia tidak dapat memenuhi permintaan pe­langgan dari ASEAN ekoran faktor cuaca serantau dan juga budaya kecantikan.

“Sehubungan itu, kami kini memberi tumpuan untuk mengkaji keperluan pelanggan ASEAN bagi membolehkan syarikat memperkenalkan produk baharu bersesuaian dengan gaya hidup serta permintaan me­reka,” ujarnya.

Sementara itu, AmorePacific dijangka melabur antara RM500 juta hingga RM600 juta untuk memba­ngunkan kilang pengeluaran serta pusat kajian dan pembangunan di Iskandar Puteri, Johor.

Projek tersebut akan menjadikan ia sebagai satu platform baharu untuk mengembangkan penawaran produknya di pasaran ASEAN, khususnya dalam segmen produk halal.