Pengarah Urusannya, Lew Mun Yee berkata, pada tahun lalu, syarikat itu merekodkan jualan bernilai RM150 juta untuk pasaran Malaysia sahaja, de­ngan jualan keseluruhan kira-kira 2,000 unit tilam sebulan.

“Menurut Sleep Survey 2018 yang dijalankan oleh Nielsen Malaysia baru-baru ini, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami satu atau lebih masalah tidur, dan sekiranya ia dibiarkan berterusan, akan memudaratkan kehidupan mereka.

“Justeru itu, sebagai satu-satunya pemain dalam pasaran khusus ini di Malaysia, kami melihat terdapat potensi pasaran yang meluas, dengan matlamat AmLife untuk membantu golongan tersebut mendapatkan tidur yang nyenyak serta membantu melegakan ketidakselesaan badan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mun Yee menjelaskan, AmLife menyasarkan untuk mempunyai sehingga 10,000 francais bergerak pada tahun depan daripada kira-kira 4,000 setakat ini.

“Ketika mula melancarkan AmLife pada tahun 2014, kami menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin menjadi francais bergerak sehingga mampu mengumpul sebanyak 300 orang dalam tempoh enam bulan pertama.

“Sebagai francais bergerak, tugas mereka adalah untuk meminjamkan tilam kepada bakal pelanggan untuk dicuba di rumah masing-masing, dan kaedah ini lebih menjimatkan kos serta memudahkan operasi kerana mereka tidak perlu membuka cawangan kedai,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan untuk menembusi pasaran baharu, Mun Yee berkata, AmLife menyasarkan untuk memasuki pasaran Hong Kong pada tahun depan selain Thailand menjelang tahun 2020.

“Kami telah pun mengkaji potensi pasaran di Hong Kong dan sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus memberi keyakinan kepada AmLife untuk memperluaskan kehadiran di negara ini.

“Setakat ini, kami ingin memberi tumpuan kepada pasaran serantau terlebih dahulu sebelum mula meninjau negara-negara Barat pada masa akan datang,” ujarnya.

Tilam keluaran AmLife dijual pada harga RM12,000 untuk saiz single dan RM16,700 bagi saiz queen.