LOKE

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kontrak dengan MASwings, pengendali laluan itu ketika ini, sepatutnya berakhir pada tahun 2024 tetapi akan ditamatkan.

Ujarnya, langkah baharu itu akan membantu kerajaan memperoleh penjimatan antara RM10 juta dan RM20 juta bagi kedua-dua laluan berkenan mulai tahun 2020 dan seterusnya.

“Kita berharap dapat mengurangkan subsidi kerajaan, pada masa yang sama dapat mengurangkan kadar harga tiket penerbangan dan menambahkan kapasiti untuk kedua-dua sektor itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis anjuran AirAsia untuk mengumumkan penerbangan lewat malam tambahan bagi sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang di sini semalam.

Laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu merupakan antara lebih 30 laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak yang dikendalikan MASwings.

Ia mendapat subsidi kerajaan kerana dianggap sebagai tidak berdaya maju dari segi komersial.

Loke berkata, Belanjawan 2019 mencadangkan peruntukan sebanyak RM230 juta harga siling bagi subsidi RAS, yang termasuk pampasan bagi MASwings, berbanding bil subsidi RM190 juta tahun ini.

Beliau berkata, pengkomersialan laluan itu akan membantu kerajaan mengurangkan secara beransur-ansur harga siling subsidi.

Sebelum ini, kerajaan telah mengkomersialkan enam laluan RAS iaitu KK-Tawau, KK-Sandakan, KK-Miri, Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu dan Kuching-Miri.

“MASwings tidak mempunyai masalah sekiranya mahu meneruskan operasi penerbangan bagi laluan ini tetapi tidak akan mendapat subsidi.

“Mereka (AirAsia dan MASwings) boleh bersaing secara sama rata (tanpa subsidi),” jelas beliau.

Loke berkata perjanjian operasi baharu antara kerajaan dan AirAsia akan dimeterai pada akhir tahun ini.

Perjanjian itu turut merangkumi jumlah pampasan bagi MASwings.

Menurut beliau, AirAsia akan diberi kontrak enam tahun ber­akhir pada 2024 untuk mengendalikan laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu. – Bernama