UnionPay merupakan rangkaian pembayaran global dengan lebih daripada 7.5 bilion pemegang kad dan kehadiran di 174 buah negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank Group, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan UnionPay sejak tahun 2013 bagi menyediakan platform pembayaran untuk pelanggan di negara ini.

“Kami berbesar hati untuk me­lancarkan kad kredit kembara pertama AmBank dengan UnionPay. Menerusi kerjasama ini, pelanggan kami dapat memanfaatkan keha­diran kukuh UnionPay di seluruh dunia terutamanya di China yang memberikan pelbagai tawaran eksklusif untuk hotel, makanan dan membeli-belah.

“Kerjasama ini hanyalah satu permulaan. Saya berharap menjelang hujung tahun, pelanggan kami boleh mula membuat pembayaran kecil menerusi kod QR (Kod Respons Pantas) menerusi AmOnline di China, selain menggunakan kad kredit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran kad tersebut di sini semalam.