Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, dengan pertumbuhan pinjaman dua digit yang dicatatkan oleh portfolio PKS pada tahun kewangan lepas, pihaknya yakin untuk terus memberi fokus kepada segmen ber­kenaan.

“Kami melihat terdapat banyak peluang yang ditawarkan oleh segmen PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang mampu mendorong peningkatan pembiayaan bagi portfolio tersebut.

“Bagaimanapun, bagi syarikat bersaiz besar pula, kami akan mengambil pendekatan memilih dan berhati-hati memandangkan persekitarannya yang kompetitif, selain tidak terlalu memberi penekanan kepada syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pengumuman prestasi kewangan AmBank Group bagi tahun kewangan 2018 di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan AmBank Group, Jamie Ling serta Ketua Prestasi Perniagaan dan Perhubungan Pelabur AmBank Group, Chelsea Cheng.

Menurut Sulaiman, bagi segmen pinjaman runcit, pihaknya menjangkakan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mampu mewujudkan kesan berganda yang secara tidak langsung dapat memacu pertumbuhan bagi portfolio tersebut.

“Dengan pemansuhan GST, pengguna akan mempunyai lebih banyak tunai di tangan dan ini seterusnya dapat meningkatkan kuasa perbelanjaan dan mendorong mereka membuat pinjaman dengan pihak bank.

“Ini kemudiannya mampu memacu pertumbuhan pinjaman bagi segmen runcit,” jelasnya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018, AmBank Group mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.7 peratus berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan pinjaman mengukuh 6 peratus tahun ke tahun kepada RM96.3 bilion, dipacu oleh pertumbuhan dalam segmen-segmen yang diberi keutamaan.

Bagi segmen PKS sahaja, ia mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 19.2 peratus tahun ke tahun kepada RM16.7 bilion.