Menurut pengasas syarikat, Hasbullah Othman Hasbul, pembaharuan tersebut akan membolehkan jemaah menjadi lebih mesra dan tidak segan silu bertanya terhadap pelbagai persoalan atau permasalahan serta perasaan ragu-ragu mereka kepada mutawif.

“Kami mahu para jemaah lebih berasa selesa untuk melaksanakan ibadat kerana jika tidak kena dengan caranya, ibadat akan menjadi berat kepada jemaah itu sendiri.

“Kami mahu menjadikan suasana umrah itu lebih relaks dan seronok serta mereka akan mendapat input berguna selain peranan mutawif yang dilantik sebagai pembimbing itu boleh dianggap sebagai rakan baik kepada jemaah.

“Ini bermakna para jemaah akan mendapat bimbingan sepenuhnya daripada mula sebelum berangkat hinggalah mereka pulang ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pengenalan pakej umrah syarikat di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Al Murtajiz menawarkan pakej umrah mampu milik serendah RM5,990 hingga RM7,490 seorang mengikut musim dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines.

Syarikat tersebut yang beroperasi sejak awal tahun 2014 itu telah diambil alih oleh Hasbullah sejak dua bulan lalu.

Hasbullah memiliki pengalaman sebagai pengurus di sebuah syarikat agensi umrah dan ziarah selain menjadi mutawif sejak 10 tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan pendakwah bebas menerangkan, berdasarkan faktor tersebut, syarikat mengunjurkan untuk membawa lebih 300 jemaah umrah bermula musim baharu pada bulan September ini sehingga akhir tahun.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah realistik memandangkan pihaknya akan memulakan operasi umrah secara rasmi buat pertama kalinya pada musim baharu ini.

Selain itu, Hasbullah menerangkan, pakej umrah yang ditawarkan juga menawarkan konsep penyucian jiwa dan memantapkan akidah dengan menganjurkan program qiamullai, majlis zikir dan tazkirah di Tanah Suci.

Selain itu, antara keistimewaan lain menunaikan umrah bersama Al Murtajiz ialah para jemaah dapat menginap di hotel bertaraf lima bintang.

Tambah beliau, jemaah di Mekah hanya perlu berjalan kaki 150 meter ke Masjidil Haram kerana mereka menginap di Makarem Aiyad manakala 100 meter ke Masjid Nabawi dari Dar Al Naim di Madinah.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej yang ditawarkan syarikat, boleh menghubungi di talian 013-946 4541 atau layari Facebook: Al Murtajiz Travel & Tours.