Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, nilai sasaran itu mampu dicapai ekoran pelancaran penambahbaikan produk Al-Awfar yang meliputi ciri baharu dan tawaran yang menarik kepada pelanggan.

Menurutnya, bank tersebut juga menyasarkan untuk menarik sehingga 230,000 pelanggan baharu tahun ini menerusi produk Al-Awfar yang telah diperkenalkan di pasaran sejak tahun 2009.

“Sejak sedekad lalu, Al-Awfar telah melahirkan 23 jutawan. Bank Islam telah menerima maklum balas menggalakkan (berkenaan produk Al-Awfar), dan kami mencapai rekod yang baik dengan keseluruhan saiz dana sebanyak RM2.45 bilion dan 771,469 akaun.

“Kami bercadang untuk menambah baik produk tersebut dengan menambah struktur hadiah cabutan dan meningkatkan nilai hadiah keseluruhannya kepada RM14 juta berbanding RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran penambahbaikan produk tersebut di sini semalam.

Hadiah cabutan tersebut terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu cabutan istimewa separuh tahun, cabutan suku tahunan dan cabutan bulanan.

Hadiah termasuk wang tunai, kereta mewah, pakej mengerjakan umrah dan barangan jenama Apple seperti iMac, Macbook Pro dan iPhone

Selain itu, Mohd. Muazzam menjelaskan, Bank Islam akan meneruskan kempen bulanannya, Jom Pindah Gaji sehingga hujung tahun ini.

“Kami menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 kepada 13 pemenang setiap bulan.

“Pelanggan hanya perlu memindahkan gaji mereka ke akaun Bank Islam bagi melayakkan diri menyertai cabutan ini yang terbuka kepada kakitangan kerajaan dan semua agensi di bawahnya,” tambah beliau.