Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sejak dilancarkan pada Januari lepas, sebanyak 10,500 pemegang akaun telah berdaftar dengan jumlah simpanan bernilai RM8 juta berjaya dicatatkan.

"Pengenalan produk akaun simpanan seumpama ini merupakan salah satu platform menabung yang kami sediakan bagi menawarkan kemudahan kepada pelanggan yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah.

"Kami berharap dengan lebih banyak promosi dan kempen yang akan dijalankan oleh Bank Rakyat selepas ini, ia dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk melanggan produk ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh dan Presiden merangkap Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Sementara itu, Hamzah berkata, pengenalan Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah antaranya bertujuan untuk mengurangkan kes penipuan dalam kalangan ejen umrah.

"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, kerugian bernilai lebih RM21 juta telah dilaporkan yang melibatkan 3,482 kes penipuan semenjak tahun 2012 hingga Oktober tahun lepas.

"Justeru itu, dengan adanya produk seperti ini, ia dapat dijadikan alternatif kepada bakal jemaah untuk membuat simpanan serta mengikuti pakej umrah yang selamat, sekali gus menangani masalah penipuan pakej umrah," ujarnya.

Bagi pelanggan yang berminat untuk membuat simpanan dengan Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah boleh mengunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.

Turut ditawarkan adalah tiga jenis pakej umrah yang disediakan oleh Rakyat Travel Sdn. Bhd., anak syarikat Bank Rakyat. - K! ONLINE