Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Naoko Yamamoto berkata, sasaran itu bakal dipacu oleh jualan kukuh bagi produk pengguna, penambahbaikan portfolio produk, pengembangan segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) serta peningkatan produktiviti secara berterusan.

“Kami mempunyai kedudukan yang kukuh dalam segmen produk pengguna menerusi jenama seperti Ajinomoto, Tumix dan Seri Aji yang mencatatkan jualan positif meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Selain itu, dengan perancangan untuk menambah lagi barisan produk sedia ada dan memperkenalkan segmen produk baharu pada masa akan datang, ia dilihat mampu membantu meningkatkan jualan bersih syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan mengenai hala tuju kumpulan Ajinomoto di sini semalam.

Bagi tahun kewangan 2015, Ajinomoto mencatatkan jualan bersih bernilai RM400 juta, dan meningkat kepada RM420 juta pada tahun 2016.

Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan semasa, sebanyak RM211 juta jualan bersih telah direkodkan, dan angka itu diunjur melebihi tahun sebelumnya untuk tempoh setahun penuh.

Sementara itu, ditanya mengenai pasaran eksport, Naoko menjelaskan, pada masa ini, sebanyak 25 peratus daripada jualan keseluruhan syarikat terdiri daripada pasaran luar Malaysia.