Berikutan peningkatan populariti Malaysia sebagai sebuah destinasi global, bandar raya Kuala Lumpur kini menjadi destinasi terbaharu dalam kalangan  60 destinasi lain di dunia yang menjadi pilihan buat Airbnb mengorak langkah.

Pengarah Jabatan Perjalanan bagi Asia Tenggara dan India Airbnb, Sriram Vaidhya berkata, selain melangkaui khidmat perkongsian penginapan, Airbnb kini turut menawarkan lawatan dan aktiviti seperti warga tempatan bagi memastikan pengunjungnya dapat menjelajahi tempat dan lokasi yang sukar diterokai.

'Pengalaman' Airbnb merupakan aktiviti tempatan yang direka dan diterajui oleh pakar tempatan berpengalaman yang berkongsi sudut pandangan tempatan mengenai bandar mereka bersama pengembara.

"Antara Pengalaman yang ditawarkan termasuk sehari dalam kehidupan pelukis batik, pelajari cara mencipta karya asli, lari daripada kesibukan dunia moden dan jelajahi hutan dengan air terjun tersembunyi atau pelajari tentang menoreh getah di salah sebuah ladang getah terakhir di bandar raya ini," katanya.

Menurutnya, pengalaman di Kuala Lumpur bukan sahaja memudahkan usahawan Malaysia untuk berkongsi minat dan hobi mereka bersama orang ramai dari seluruh dunia, malah platform ini juga menyaksikan warga tempatan memanfaatkannya untuk menyumbang kembali kepada komuniti menerusi Pengalaman Impak Sosial.

"Pengalaman Impak Sosial Airbnb memberi peluang kepada usahawan tempatan berkongsi lebih mendalam mengenai perjuangan mereka. Airbnb tidak mengambil sebarang bayaran, dan 100% daripada dana yang dikumpul daripada tetamu disalurkan kepada organisasi kebajikan yang dipilih oleh hos tempatan.

"Antara inisiatif yang terlibat termasuk 'Dapur Jalanan', sebuah organisasi sukarela yang menawarkan makanan percuma kepada gelandangan serta sesi mendalam bersama komuniti kurang upaya," ujarnya lagi.

Pelancaran Pengalaman Airbnb di Kuala Lumpur ini turut mensasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi percutian yang terkemuka di dunia, sekaligus membolehkan pengembara untuk menerokai sisi bandar ini yang berbeza dan tinggal seperti warga tempatan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pengalaman Airbnb, lawati www.airbnb.com/experiences. - K! ONLINE