Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Air­Asia X, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia X juga akan me­ngendalikan penerbangan dua kali sehari sebagai syarikat penerba­ngan antarabangsa pertama di lapangan terbang tersebut.

“Sejak penerbangan sulung pada 2007, AirAsia X telah membawa lebih 30 juta penumpang termasuk 6.1 juta rakyat Australia, sama ada pelancong atau pelajar dari seluruh dunia.

“Kami berbangga dapat memperbaharui komitmen untuk menjadikan perjalanan udara mampu untuk rakyat Australia serta membolehkan kami untuk terus menawarkan tambang rendah ke ASEAN, Asia dan sete­rusnya,” katanya dalam satu ke­nyataan akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Ava­lon, Justin Giddings berkata, sebagai langkah tersebut, pihak­nya memeterai perjanjian untuk tempoh 10 tahun dengan AirAsia X bagi menampung pertumbuhan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh berkenaan.

“Ia merupakan perjanjian pertama di Australia dan menyediakan peluang tambang rendah yang unik kepada orang ramai dan perniagaan untuk mengakses lebih 130 destinasi di seluruh Asia.

“Lapangan Terbang Avalon menawarkan pengalaman yang mudah dan menyeronokkan kepada pelancong dan hanya 50 minit ke Melbourne CBD (kawasan perniagaan pusat) dan lapangan terbang antarabangsa terdekat ke Great Ocean Road,” ujarnya.

Pada masa ini, penerbangan Air­Asia akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Melbourne, atau dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Lapangan Terbang Tullamarine, sehingga Lapangan Terbang Avalon mula beroperasi tidak lama lagi pada tahun ini.

Sebanyak 500,000 penumpang antarabangsa diunjurkan menggunakan lapangan terbang tersebut pada tahun pertama operasi.