Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tempahan itu mengesahkan kesesuaian pesawat A330neo sebagai pilihan terbaik untuk memantapkan rangkaian pesawat badan besar pada masa hadapan.

Katanya, sebagai tambahan A321XLR menawarkan kemampuan jarak penerbangan paling jauh bagi mana-mana pesawat lorong tunggal yang akan membolehkan AirAsia X memper­kenalkan perkhidmatan ke destinasi baharu.

“Digabungkan bersama, ke­dua-dua pesawat ini merupakan gandingan terbaik bagi operasi penerbangan jarak jauh kos rendah yang akan memberi kelebihan kepada kami untuk memperkukuhkan lagi kedudukan selaku peneraju pasaran dalam sektor yang pesat berkembang ini.

“Adanya pesawat baharu ini akan menawarkan potensi destinasi baharu kepada kami seperti ke Eropah Timur, Nice di Perancis,” katanya dalam satu kenya­taan di sini baru-baru ini.

Kontrak pembelian itu telah dimeterai Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury dengan disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambah Tony, kontrak baharu itu menyaksikan peningkatan bilangan pesawat A330neo yang ditempah oleh AirAsia X kepada 78 pesawat sekali gus memperkukuhkan status syarikat penerbangan itu sebagai pelanggan tunggal terbesar bagi pesawat jenis itu.

“Tempahan bagi pesawat A321XLR menyaksikan langkah Kumpulan AirAsia untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pelanggan terbesar di dunia bagi pembelian pesawat dari Rangkaian A320, dengan tempahan terkini berjumlah sebanyak 622 pesawat.

“Pengesahan tempahan itu sekaligus menjadikan tempahan pesawat keseluruhan oleh Kumpulan AirAsia berjumlah 730 buah,” katanya.

Penghantaran pertama pesawat A330neo kepada AirAsia X dijadualkan pada pertengahan tahun depan manakala untuk A321XLR pula pada tahun 2023.

Pesawat jenis A321XLR mampu mencapai jarak penerbangan sehingga 4,700 batu nautika de­ngan penggunaan bahan api 30 peratus lebih rendah bagi setiap tempat duduk berbanding ge­nerasi pesawat pesaing yang lain.

Bagi pesawat A330neo pula, ia menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 7000 yang turut memberikan penjimatan bahan api sehingga 25 peratus.