Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata, penerbangan sebanyak empat kali seminggu itu meng­hubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

“Kami berbesar hati untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Johor ke Ipoh yang juga merupakan destinasi yang dinanti-nantikan dalam rangkaian laluan AirAsia.

“Selain penerbangan baharu ini, kami juga telah memulakan penerba­ngan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar pada hari ini dan yakin kedua-duanya akan menjadi destinasi popular untuk percutian dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan 126 penumpang pe­nerbangan AirAsia AK6082 di LTSAS dekat sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dan Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar.

Penerbangan domestik dari Johor Bahru ke Ipoh itu mengambil masa kira-kira 50 minit.

Tambah Riad, AirAsia juga komited untuk terus meningkatkan industri pelancongan dengan perkhidmatan penerbangan ke Ipoh.

Katanya, ini sekali gus dapat menyumbang kepada pe­luang pekerjaan dan pekerjaan masyarakat setempat.