Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Spencer Lee berkata, penerbangan empat kali seminggu ke pulau terbesar di Vietnam itu akan bermula pada 2 November depan.

“Kami berbesar hati kerana menjadi syarikat penerbangan pertama yang me­lancarkan laluan terus dari Kuala Lumpur ke salah satu permata tersembunyi ASEAN, Phu Quoc yang juga menampilkan pelbagai lands­kap menakjubkan se­perti hutan hijau, pantai yang indah dan gunung-ganang.

“Para penumpang AirAsia kini boleh terus ke Phu Quoc melalui Kuala Lumpur dari 20 buah bandar di 10 buah negara termasuk China, India, Australia, Indonesia, Jepun, Korea, Fili­pina, Thailand, Singapura,” katanya menerusi satu ke­nyataan di sini semalam.

Spencer menjelaskan, pelancong dari semua negara juga boleh melawat Phu Quoc dengan pengecualian visa sehingga 30 hari, seterusnya menjadikan pulau berkenaan lebih mudah untuk dilawati,” ujar beliau.

Phu Quoc menandakan laluan unik ke-59 AirAsia Malaysia dan laluan kelima syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan ke Vietnam.

Selain Phu Quoc, AirAsia juga terbang ke empat destinasi lain di Vietnam termasuk Bandar Ho Chi Minh, Da Nang, Hanoi dan Nha Trang dari Malaysia.

Sempena pelancaran laluan baharu berkenaan, AirAsia kini menawarkan tambang istimewa termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Phu Quoc daripada RM90 yang boleh ditempah menerusi laman airasia.com dan aplikasi AirAsia bermula 8 Ogos hingga 19 Ogos 2018 untuk tempoh perjalanan antara 2 November 2018 dan 29 Mac 2019.