Hasil syarikat penerbangan usaha sama syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia Bhd. dan kumpulan Tata India, hampir meningkat sekali ganda kepada 5.17 bilion rupee antara Oktober hingga Disember tahun lepas, berbanding 2.7 bilion rupee pada suku yang sama pada 2016.

Syarikat itu mencatat kerugian 152.7 juta rupee pada suku yang sama pada 2016.

Kerugian bersih AirAsia India untuk setahun penuh pada 2017 sebanyak 701 juta rupee (RM42.6 juta) berbanding kerugian bersih 2016 sebanyak kira-kira 1,446 juta rupee (RM86.7 juta), demikian menurut kenyataan syarikat itu pada Selasa.

Ia mencatatkan pertumbuhan 79 peratus penumpang dan peningkatan kapasiti 80 peratus dalam suku keempat 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Syarikat penerbangan itu membawa 4.44 juta penumpang tahun lepas, bebanding 2.45 juta pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia India merancang melancarkan operasi antarabangsa tahun ini, sebaik sahaja ia mempunyai minimum 20 pesawat seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang India.

Syarikat penerbangan itu mempunyai sekumpulan 14 pesawat pada akhir Disember dan telah memperoleh dua lagi sejak itu. – Bernama