Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, mesin itu ia bakal memberi manfaat kepada 38,000 penduduk yang menghuni di enam gugusan Felda Kerteh.

“Sebelum ini saya difahamkan Felda Kerteh termasuk pusat bandarnya, Bandar Ketengah Jaya dekat sini sudah 10 tahun tidak mempunyai perkhidmatan perbankan terma­suk mesin ATM.

“Penduduknya terpaksa ke pekan terdekat iaitu Paka yang terletak kira-kira 18 kilometer dari sini untuk urusan perbankan termasuk mengeluarkan wang ekoran ketiadaan mesin ATM di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas mengha­diri majlis Mesra Agrobank bersama penduduk Felda Kerteh di Bandar Ketengah Jaya yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dekat sini semalam.

Mohamad Zabidi berkata, selain itu, Koperasi Peneroka Felda Kerteh Jaya dan Koperasi Felda Kerteh 6 juga dilantik sebagai ejen Agrobank bagi memudahkan penduduk menjalani transaksi perbankan, membayar bil utiliti dan memohon pembiayaan mikro dengan bank berkenaan.

“Ia adalah langkah untuk memperkasakan komuniti pertanian sekali gus meningkatkan akses kewangan kepada penduduk luar bandar,” katanya.