Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Zul­kiflee Abbas Abdul Hamid berkata, pembiayaan pendidikan itu merupakan kemudahan disediakan Bank Rakyat untuk membantu golongan bumiputera membiayai pengajian mereka ke peringkat berkemahiran tinggi.

“Dengan pembiayaan bernilai antara RM60,000 hingga RM200,000 bagi seorang pelajar, kami tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan lagi peruntukan ini pada masa akan datang jika ia mendapat sambutan di luar jangkaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menanda­tangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Rakyat de­ngan Yayasan Peneraju di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Maha­yuddin.

Sementara itu, Raja Azura berkata, pihaknya menyasarkan seramai 300 peserta program SHIP bakal menerima manfaat pembiayaan pendidikan tersebut, seterusnya me­lanjutkan pengajian di ­institusi-institusi pengajian tinggi.

“Program SHIP memberi fokus kepada empat sektor utama yang memerlukan tenaga mahir dan profesional iaitu perkhidmatan kewangan, kesihatan, maritim dan aeroangkasa.

“Ia menyasarkan golo­ngan berpendapatan pertengahan dengan pe­ngalaman bekerja dalam bidang berkaitan,” ujarnya.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Ogos 2017, program SHIP merupakan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional tempatan dalam sektor utama bagi meningkatkan bila­ngan rakyat yang berpendapatan tinggi melebihi RM20,000 sebulan.

Sejak dilancarkan, seramai 380 orang telah mendaftar dan kini dalam proses penilaian, dengan jangkaan program per­tama bakal bermula sekitar Jun tahun ini.