Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, kad tersebut bakal melengkapkan lagi pelbagai penawaran produk bank kepada semua pelanggan termasuk ahli perniagaan.

“Melalui kad ini, kami dapat menawarkan penyelesaian baharu kepada pelanggan dalam segmen PKS, ia merupakan satu pasaran yang belum diterokai.

“Ini merupakan segmen yang semakin berkembang bagi bank dan kami melihat pertumbuhan sebanyak 15 hingga 16 peratus daripada PKS untuk tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad kredit tersebut di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Selain itu, Kong Boon menjelaskan, faedah yang ditawarkan oleh produk baharu itu amat memberi manfaat kepada perniagaan kecil dan korporat.

Ini kerana kebanyakan daripada kumpulan tersebut masih bergantung kepada tunai atau cek untuk pembayaran.

“Lebih penting, pembayaran digital dapat membantu syarikat merancang kewangan mereka dan meningkatkan proses pengurusan tunai mereka,” katanya.

Kad tersebut memberi pelbagai manfaat bagi pemilik perniagaan seperti pulangan tunai tanpa had sebanyak 1.5 peratus apabila kad itu digunakan untuk urus niaga di luar negara dalam tempoh promosi mulai sekarang hingga Jun 2019, sebelum kembali kepada kadar biasa satu peratus.

Selain itu, kad tersebut menawarkan akses percuma sebanyak enam kali ke Plaza Premium Lounge dan yuran hijau percuma di padang golf utama di Malaysia dan Indonesia selagi ahli kad membelanjakan RM2,000 sebulan.