Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazlee Khalifah berkata, sasaran ini bakal dipacu dengan kerjasama strategik yang dilaksanakan dengan pelbagai pihak institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk universiti dan kolej di seluruh negara.

“Sehingga kini, kami telah meluluskan sehingga RM10 juta bagi pembia­yaan pendidikan-i dengan pelbagai usaha penambahbaikan produk yang baharu sahaja diperkenalkan pada Februari tahun lalu.

“Affin Islamic yakin sasaran berkenaan mampu dicapai dengan melihat prestasi yang memberangsangkan dalam tempoh sembilan bulan ini.

“Malah kami telah menjalinkan kerjasama de­ngan 35 buah IPT tinggi setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Affin Islamic dan Universiti Mahsa (Mahsa) di kampusnya yang terletak di Jenjarom di sini semalam.

Turut hadir ProCanselor dan Pengerusi Eksekutif Mahsa, Prof. Tan Sri Dr. Mohamed Haniffa Abdullah.

Produk Affin Pembia­yaan Pendidikan-i diper­kenalkan pada Februari tahun lalu yang mana ia ditawarkan dengan pilihan permohonan bersama oleh ibu bapa atau penjaga dengan pelajar.

Selain itu, menurut Naz­lee, Affin Islamic setakat ini telah meluluskan pembiayaan bernilai RM2 juta menerusi pembiayaan pendidikan-i melalui kerjasama strategik yang dilaksanakan dengan Mahsa.

Pembiayaan patuh syariah itu terbuka kepada pelajar sepenuh masa, separuh masa, baharu atau sedia ada yang mengambil program pendidikan asasi, sijil, pra­universiti, diploma, ijazah, pasca siswazah dan profesional.