Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, pihaknya akan memperkenal pelbagai produk digital baharu bagi memenuhi kehendak pa­saran dan merealisasikan saranan Bank Negara Malaysia ke arah pendigitalan perbankan.

“Affin Bank telah memperuntukkan jumlah tertentu per­belanjaan bagi memenuhi keperluan segmen digital tersebut.

“Matlamat ini sejajar dengan transformasi tiga tahun kumpulan dalam meningkatkan pe­nguasaan pasaran dan penda­patan kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kad kredit Visa Signature dan aplikasi AffinPay di pusat beli-belah One Utama dekat sini semalam.

Turut hadir Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon.

Terdahulu Kamarul Ariffin berkata, kad kredit Visa Signature yang baru dilancarkan itu menawarkan pulangan tunai sebanyak 3 peratus bagi setiap transaksi runcit tanpa sentuh dengan kadar pulangan maksimum sebanyak RM80 sebulan atau RM960 setahun.

Menurut beliau, kad kredit terbaharu itu menawarkan faedah yang mudah difahami bagi menjadikannya unik berbanding kad kredit lain serta memberi ganjaran kepada pelanggan setia.

Tambahnya, AffinPay pula berfungsi berlandaskan Visa PayWave bertujuan untuk memudahkan para pelanggan me­lakukan transaksi runcit tanpa perlu membawa kad kredit atau kad debit.

“Pelancaran AffinPay ini sejajar dengan agenda transformasi digital bank yang kini sedang giat dilaksanakan untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang lebih baik untuk pelanggan setia Affin Bank.

“Kami berharap pengenalan dua produk baharu ini dapat meningkatkan jumlah pe­langgan dengan sasaran 30,000 pengguna kad kredit,” katanya.