Pengarah Eksekutif AEON, Poh Ying Loo berkata, jumlah Capex yang diperuntukkan adalah lebih rendah berban­ding RM600 juta hingga RM700 juta pada tahun sebelum ini memandangkan syarikat tidak mempunyai perancangan untuk membuka cawangan baharu.

“AEON baru sahaja melaksanakan pembukaan cawangan Nilai, Negeri sembilan pada Ja­nuari lalu dan selesai mengubah suai cawangan Bandar Utama, Selangor serta akan melakukan operasi yang sama di cawangan Taman Maluri.

“Syarikat juga akan terus mengubah suai dan menambah baik cawangan yang terpilih selain akan mengembangkan operasi dalam perniagaan kategori baharu iaitu farmasi dan kedai harga tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyua­rat Agung Tahunan AEON ke-34 di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin; Pengarah Urusannya, Shinobu Washizawa dan Pengarah Eksekutif, Hiroyuki Kotera.

AEON menutup tahun kewa­ngan berakhir 2018 dengan mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM4.35 bilion dengan peningkatan 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM4.12 bilion.

Peningkatan itu dipacu oleh pembukaan kedai dan pusat beli-belah baharu serta sumba­ngan daripada kedai yang sudah dinaiktaraf bagi menyediakan pengalaman membeli-belah le­bih baik kepada pelanggannya.

Ketika ini, AEON mengendalikan operasi 28 AEON Mall, 34 AEON Outlet, empat MaxValu Prime Supermarket dan satu MaxValu di seluruh negara.

Sementara itu, Washizawa menjelaskan, AEON turut me­rancang untuk memperluaskan perniagaan pasar raya serta mengembangkan perniagaannya dalam prospek e-dagang.

“AEON Malaysia dan Ho­nestbee pada Janurai 2018 telah membentuk persekutuan perniagaan yang bertujuan untuk memanfaatkan permintaan pengguna untuk perkhidmatan penghantaran runcit di rumah.

“Tahun ini, kami akan meluaskan rangkaian dan menjangkakan peningkatan lebih daripada dua kali ganda,” katanya.