Pengalaman pelanggan me­ngetuk pintu butiknya pada malam hari raya empat tahun lalu sebelum operasi perniagaannya tamat membuatkan be­­liau terharu dengan sambutan yang di­terima daripada masyarakat.

“Saya amat bersyukur kerana semua tudung atau selendang habis terjual, ia merupakan 10 koleksi rekaan baharu selendang yang didatangkan dengan pelbagai warna menarik yang dihiasi manik.

“Mungkin faktor harga mampu beli yang kami tawarkan menjadi tarikan pe­langgan kerana selendang yang dijual di butik ini agak murah tetapi berkualiti,” katanya ketika ditemui di butiknya di Jitra, Kedah baru-baru ini.

Aida Suraini memulakan perniagaan menjual tudung segera dan selendang secara online bermula sejak tahun 2004 ketika beliau masih berkhidmat dalam institusi perbankan.

Namun minatnya dalam bidang fesyen mengatasi segala-galanya lalu beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan dan memberi tumpuan pada bidang perniagaan.

Suaminya, Datuk Wan Ahmad Muazam Wan Ismail turut menyokong dengan memberi suntikan menyuntik modal sekitar RM100,000.

“Pada mulanya, saya bersama adik-beradik agak bingung untuk memikirkan nama butik tetapi akhirnya kami memilih Cindai Mahsuri. Bagaimanapun, nama tersebut ditukar kepada Cindai sahaja ke­rana ia bersesuaian dengan strategi pemasaran dan agak komersial.

“Empat adik saya iaitu Aida Suziana, Aida Suhaiza, Azrul Rizal dan Azrul Izwan turut menggembeling tenaga dan idea bagi memastikan Butik Cindai ini mampu berdiri teguh dan menjadi perniagaan keluarga kami,” jelasnya.

Menurutnya, disebabkan Aida Suziana mempunyai pengalaman dalam bidang perakaunan, maka beliau dipertanggungjawab menjaga kewangan syarikat manakala Aida Suhaiza pula le­bih menjurus ke arah pemasaran dan penjualan selain Azrul Rizal pula sebagai pengarah.

“Adik bongsu kami, Izwan pula menjadi pereka fesyen, banyak ideanya yang unik diketengahkan bersesuai­an dengan cita rasa orang muda dan pelanggan daripada pelbagai peringkat umur,” jelasnya.

Kini, rekaan Izwan telah berjaya menembusi pasaran di gedung beli-belah, Metrojaya, Kuala Lumpur serta turut dipelbagaikan koleksi seperti baju kurung, blaus, palazo, skirt labuh dan celana.

Bersesuaian dengan nama tersebut, imej Butik Cindai terus kukuh dalam kalangan pelanggan di utara Semenanjung dan pelanggan online.

Menyedari persaingan yang semakin sengit, Aida Suraini bersama tenaga kerjanya berte­rusan mencari idea kreatif untuk menampilkan koleksi berbeza tetapi masih menekankan konsep fesyen patuh syariah selain mengekalkan harga mampu milik kepada para pelanggannya.

“Izwan sebagai pereka fesyen Cindai, perlu sentiasa menyuntik idea-idea baharu dan segar dari segi rekaan dan tentunya, ia bersesuaian untuk mereka yang bersaiz kecil sehinggalah ke saiz besar.

“Selain itu, kami juga menerima tempahan pelanggan yang mengambil masa singkat untuk disiapkan,” jelasnya.

Beliau nekad mahu menjadikan Butik Cindai sebagai butik sehenti bagi masyarakat di ne­geri Kedah.