Pengarah Urusan ACG, Nik Mohd. Fareez Nik Ahmad Azman berkata, penggunaan LPG sebagai bahan bakar dilihat mampu mengurangkan pembebasan karbon dioksida sebanyak 20 peratus selain menawarkan lebih penjimatan berbanding petrol.

“Kertas cadangan berhubung pembangunan projek kereta nasional ketiga negara ini telah pun dihantar oleh PAP-ECON kepada Kementerian Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini.

“Kami melihat kejayaan industri automotif di Jepun dengan menggunapakai bahan bakar LPG disemua peringkat kende­ra­an khususnya sektor perkhidmatan teksi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran produk Silinder Komposit LPG 14 kilogram (kg) di Hotel Royal Chulan di sini semalam.

Majlis pelancaran tersebut turut disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Nik Mohd. Fareez, sebagai perancangan jangka panjang berkaitan kereta nasional ketiga itu, ACG berhasrat menjalinkan usaha sama dengan pemain utama dalam industri LPG terutamanya Petronas bagi membuka stesen LPG yang dikenali sebagai auto gas station di seluruh negara.

“Bagi pembinaan stesen LPG ini, kami akan melihat kepada model perniagaan dari Thailand, PAP-ECON kini mengendalikan sebanyak 120 rangkaian stesen di sana.

Menurut Nik Mohd. Fareez, sebelum ini syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman berhubung pelaburan langsung asing bernilai RM1.2 bilion dalam usaha memenuhi akses pasaran tempatan dan global dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Daripada jumlah ini, syarikat memperuntukkan pelaburan sebanyak RM100 juta bagi fasa pertama untuk pembinaan kilang pembuatan silinder komposit pertama di negara ini selain menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran silinder komposit untuk di eksport ke rantau Asia,” jelasnya.