Pengarah Urusannya, Nik Mohd. Fareez Nik Ahmad Azman berkata, kilang yang akan mula dibina pada Mei depan bakal memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 silinder LPG komposit sebulan.

Ia bertujuan untuk memenuhi permintaan di pasaran domestik selain rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, kilang tersebut dijangka mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan untuk disiapkan.

“Teknologi silinder LPG komposit kini semakin popular di Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Thailand dan di Eropah kerana ia lebih kompak, ringan dan mudah dikendalikan berbanding tong LPG biasa yang diperbuat daripada besi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran silinder LPG komposit di Bangunan KL Trilion, Jalan Tun Razak di sini semalam.

Nik Mohd. Fareez menjelaskan, pembinaan kilang tersebut diputuskan setelah pihaknya diberi kelulusan oleh Kementerian Kewangan untuk memasarkan LPG bersubsidi kepada pengguna tempatan menggunakan silinder komposit pada 21 November lalu.

“Kami bakal melancarkan perkhidmatan membekalkan gas memasak menggunakan jenama AC Gas pada Januari tahun hadapan,” jelasnya.

Selain itu, beliau menerangkan, silinder komposit tersebut dibangunkan melalui kerjasama pemaju teknologi silinder berkenaan, iaitu Hyundai BS&C Co. Ltd. dan syarikat Thailand, PAP Thailand Ltd. Co.

“Kami juga mengunjurkan, AC Gas dapat menembusi sehingga tiga peratus daripada pasaran pengguna LPG di negara ini dalam tempoh setahun dilancarkan dan penguasaan pasaran pengguna sebanyak 20 peratus menjelang tahun kelima produk ini di pasaran,” ujarnya.