Ketua Pegawai Eksekutif Absolut Event & Management, Nurali Nadzwan berkata, acara itu akan dianjurkan di kawasan padang Pusat Membeli belah Angsana Johor Bahru bermula 6 sehingga 8 September 2019.

Katanya, acara yang turut mendapat kerjasama Uda Property dan UniTAR itu dalam masa sama bagi menggalakkan pengunjung untuk membeli rumah mampu milik yang ditawarkan oleh syarikat hartanah berkenaan.

"Festival makanan yang disasarkan disertai lebih 170 pengusaha makanan dari Malaysia dan Singapura ini merupakan acara kali kedua yang dianjurkan oleh kami selepas acara sama pada April lalu di Shah Alam.

"Ia berjaya mendapat sambutan luar biasa sehingga mencecah seramai 250,000 pengunjung  membanjiri acara tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Absolut Event & Management masih lagi mencari usahawan yang berminat untuk menyertai Absolut Food Festival 2019 JB.

Lebih daripada 150 jenis makanan termasuk makanan tempatan, makanan barat, seperti Ikan Bakar, Kambing golek, Bakso, pelbagai jenis biskut dan kek untuk dinikmati di Absolut Food Festival 2019 JB bermula pukul 10 pagi sehingga 10 atau 11 malam.

Selain itu, jenama produk makanan yang kini menjadi tular dalam kalangan anak muda seperti Fam Fries, 3 Budak Gemok, Otak King, Ayo Fried Chicken, Nachoslah dan Absolut Chocolat adalah antara menu yang menjadi tumpuan ramai pada acara yang berlangsung selama tiga hari itu.