Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, langkah tersebut mampu memperluaskan jualan dan pengedaran produk IKS tempatan di sini.

Ini kerana katanya, pasar raya besar U Star mempunyai sebanyak 12 cawangan di republik itu sekali gus memudahkan penduduk Kota Singa itu mendapatkan produk tempatan.

"Platform baharu ini dijangka sebanyak 150 produk usahawan IKS tempatan akan ditempatkan di rangkaian pasar raya besar itu.

"Melalui penambahan platform jualan itu menunjukkan poduk usahawan IKS tempatan semakin diterima di negara ini menerusi usaha yang dilakukan Agrobazaar Malaysia Singapura (ABMS) sejak beroperasi di Singapura pada 2014" katanya di sini hari ini.

Turur hadir ialah Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsanya, Datuk Nazipah Jamaluddin dan Ahli Lembaga Pengarah ABMS, Zainal Abidin Yang  Razalli yang juga Pengarah FAMA negeri Johor.

Menurut Ismail, ABMS kini akan memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan produk usahawan IKS tempatan sebelum ditempatkan di platform jualan yang terdapat di negara itu.

"Selain ABMS antara platform jualan lain iaitu Malaysia Halal Centre di Big Box, Jurong; pasar raya Cold Storage, Mustafa Centre, Global Halal Hub dan pasar raya besar U Star," ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, FAMA menyeru usahawan IKS tempatan menggunakan ABMS untuk memasarkan produk masing-masing di republik itu sekali gus berpeluang memasuki pasaran antarabangsa lain.

ABMS mula beroperasi di sini sejak 2014 dan kini mempunyai sebanyak 1,044 produk  melibatkan 291 usahawan industri kecil dan sederhana dari Malaysia yang dipasarkan di Singapura dengan nilai jualan sebanyak RM1.8 juta. - K! ONLINE