Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, bagi tahun ini setakat September lalu, Jabatan Insolvensi turut mengisytiharkan seramai 13,338 rakyat Malaysia muflis.

Katanya, peningkatan jumlah pembiayaan peri­badi juga dilihat semakin membimbangkan ketika ini.

“Pembiayaan peribadi merangkumi 4.47 peratus daripada keseluruhan tunggakan pembayaran, malah jumlah tersebut adalah dua kali ganda le­bih tinggi berbanding tunggakan bayaran kad kredit.

“Kebanyakan peminjam juga menjadikan pembiayaan peribadi sebagai jalan keluar bagi membayar semula pinjaman lain se­perti kad kredit.

“Ini seterusnya meningkatkan kadar hutang berbanding mengurangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Literasi Kewangan anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi AKPK, Anuar Mohd. Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, konsep celik kewangan disifatkan sebagai penting dan perlu diterapkan kepada setiap rakyat, bermula daripada institusi kekeluargaan.

“Pendidikan kewangan mampu membentuk kestabilan keluarga yang mampan, sekali gus berupaya mewujudkan sebuah negara yang berjimat-cermat serta mempunyai kewangan kukuh.

“Saya juga percaya bahawa budaya kewangan yang berdisiplin harus dimulakan dari rumah.

“Peranan ibu bapa pen­ting dalam mendidik anak-anak berkaitan pengurusan kewangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai usaha pertubuhan-pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan institusi kewangan yang menjalankan program celik kewangan di sekolah bagi tujuan mendidik kanak-kanak perbezaan antara keperluan dan kemahuan.

“Inisiatif seperti ini harus dipuji dan saya berharap lebih banyak program celik kewangan akan dijalankan dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.