Pengerusinya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran tersebut adalah realistik memandangkan terdapat enam buah koperasi sekolah telah berjaya mencapai tahap tersebut.

Katanya, ia termasuk Koperasi MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang; Koperasi MRSM Kubang Pasu, Kedah; Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan; Koperasi MRSM Batu Pahat, Johor; Koperasi MRSM Tun Abdul Razak, Pekan dan Koperasi Sekolah Menengan Kebangsaan Kota, Kota Bharu.

“Setakat ini dianggarkan 38 daripada daripada 2,421 koperasi sekolah di seluruh negara telah mencapai perolehan le­bih RM800,000.

“Koperasi sekolah perlu diberikan perhatian kerana ia merupakan platform terbaik dalam melahirkan usahawan pada masa akan datang, selari dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menje­lang tahun 2030,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Kolej Vokasional Shah Alam di sini baru-baru ini.

Berdasarkan statistik sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 2,421 koperasi sekolah dengan ahli mencecah lebih 1.6 juta telah menyumbang perolehan berjumlah RM400 juta dengan pemilikan aset sebanyak RM365 juta.

Menurut Abdul Fattah, kesemua koperasi sekolah diharapkan dapat meningkatkan jualan barangan berasaskan makanan dalam usaha melestarikan peranan koperasi itu sendiri untuk membantu ahlinya.

“Angkasa melihat koperasi sekolah bersesuaian dalam mendidik kerana struktur pimpinan termasuk ahli lembaganya adalah dalam kalangan guru dan pelajar.

“Hal ini memudahkan guru untuk membimbing pelajar dalam ilmu keusahawanan,” katanya.