Penolong Pengurus Pemasarannya, Carmine Chan berkata, permintaan tinggi bagi pasaran di Malaysia terhadap sajian Jepun telah memacu syarikat untuk memperluaskan penyediaan tawaran terutama untuk hidangan sushi.

“Kami sudah mengenalpasti lokasi bagi pembukaan cawa­ngan baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini malah, dua cawangan baharu telah dibuka di Bintulu, Sarawak dan Nilai, Negeri Sembilan dengan melibatkan peruntukkan capex sehingga RM1 juta.

“Syarikat turut menyasarkan lokasi-lokasi tumpuan pelanggan termasuk di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu (Sabah), Kuantan (Pahang) dan Johor Bahru (Johor) dengan mengetengahkan konsep baharu yang tidak hanya memberi tumpuan kepada pembukaan premis di dalam pusat beli-belah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! selepas majlis pelancaran aplikasi Sushi King; Sushi King MY di cawangan pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini baru-baru ini.

Setakat ini, Sushi King telah memperkenalkan tiga buah cawangan dengan konsep baharu iaitu di stesen minyak Shell, Miri, Sarawak; Hentian Rehat dan Rawat, Rawang, Selangor serta di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 yang turut menyediakan kaedah Grab&Go.

Sementara itu, menurut Carmine, syarikat menyasarkan untuk melengkapkan pembukaan enam cawangan Sushi King di Indonesia tahun ini sebagai usaha mengukuhkan jenama tersebut di pasaran berkenaan.

“Kami semakin berkembang di Indonesia dan bakal membuka cawangan ketiga pada Mac ini di sebuah pusat beli-belah baharu di Cibubur, Jakarta Timur selepas melihat potensi perniagaan di kawasan berkenaan.

“Syarikat menjangkakan peluang positif dalam memperluaskan perniagaan dan menawarkan capaian jenama Sushi King yang lebih baik di sana. Bagaimanapun, kami turut terbuka untuk meneroka pasaran-pasaran berpotensi lain pada masa hadapan,” ujarnya.

Ditanya mengenai aplikasi baharu Sushi King; Sushi King MY, Carmine berkata, syarikat menyasarkan sebanyak 400,000 ahli berdaftar menjelang akhir tahun ini berbanding 80,000 ahli ketika ini.

“Kami turut memperkenalkan program kesetiaan baharu yang menawarkan lebih kemudahan dan manfaat kepada para pe­langgan khususnya dalam menebus semula mata ganjaran mata yang diperoleh. Pelanggan mendapat satu mata ganjaran bagi setiap seringgit yang di­belanjakan.

“Menerusi aplikasi ini, para pelanggan boleh mengisi maklumat peribadi dan mendapat manfaat 200 mata ganjaran serta kek sempena hari jadi mereka,” jelasnya.

Sushi King kini memiliki sebanyak 125 buah cawangan di seluruh negara.