Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong memaklumkan, kondominium dan pangsapuri berharga lebih RM500,000 mendominasi kediaman (siap dibina) yang terjual dalam negara.

Katanya, lokasi dan harga kediaman turut menjadi faktor kepada masalah tidak terjual.

“Di Kuala Lumpur, kediaman berharga RM300,000 seunit dianggap mampu milik tetapi perkara ini mungkin berbeza mengikut negeri,” jelasnya kepada pembe­rita pada majlis taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2017 di Kementerian Kewangan di sini semalam.

Justeru, Chee Leong menyarankan pihak ber­kuasa tempatan membuat kajian pasaran menggunakan statistik dan petunjuk pasaran hartanah yang diterbitkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewa­ngan sebelum mempertimbangkan kelulusan pembangunan.

“Saranan yang sama juga diberikan kepada pemaju supaya keputusan yang tepat dapat dibuat bagi menjamin kelestarian pasaran hartanah negara,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, terdapat sebanyak 68,000 unit kediaman mula dibina pada separuh pertama 2017, mening­kat sebanyak 16 peratus berbanding tempoh sama 2016.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh unit strata yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur.

“Namun, kenaikan 16 peratus ini juga memberi petanda bahawa terdapat keyakinan terhadap ekonomi negara kerana jika tidak, mereka (pemaju perumahan) tidak akan memulakan projek berkenaan,” jelasnya. 
– Bernama