Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, sejak penubuhannya Zoo Negara berada dalam keadaan baik, cuma dari segi kewangan tidak begitu memberangsangkan kerana banyak bergantung kepada jualan tiket dan penaja. 

"Zoo Negara perlu berubah kerana harapan orang ramai serta penaja amat tinggi. Sudah tentu kewangan Zoo Negara dalam keadaan yang sangat suntuk dan kita cuba membantu mana yang boleh, tetapi sejak akhir-akhir ini kita ada keutamaan yang perlu dilaksanakan. Bagi saya Zoo Negara perlu menilai semula kedudukannya.

"Jadi, akan ada banyak pihak yang mengambil bahagian dalam perbincangan untuk memulihkan Zoo Negara dan sudah ada beberapa cadangan mengenai bagaimana kita perlu bergerak ke hadapan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Kedudukan negara kita hampir dengan Singapura. Mereka berbangga dengan zoo, safari malam dan jumlah kemudahan yang mereka miliki untuk pelancong, Jadi cabaran bagi kita adalah untuk setanding dengan mereka. Kita memerlukan lebih banyak penaja agar kami dapat memperbaiki keadaan," katanya. - Bernama