Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau tidak mahu parti terperangkap sekali lagi seperti yang berlaku pada PRU sebelum ini yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) terpaksa menjawab isu bekalan elektrik terputus dan membawa masuk warga Bangladesh sebagai pengundi.

"Mereka (pembangkang) dalam kempen-kempen berkata, BN yakin akan kalah dan akan memutuskan bekalan elektrik di seluruh pusat pengiraan undi supaya sewaktu api dipadam, kertas undi ditukar, penipuan dilakukan untuk menentukan kemenangan BN, kita tak boleh jawab.

 "Kita terperangkap untuk menjawab kerana di saat akhir isu ini telah dilontarkan kepada masyarakat dan kita tidak sangka serta tidak jangka kerana tiada 'pre-emptive measures' dan kaedah untuk menangani isu itu pada saat akhir," katanya di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden itu berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Penerangan dan Media 2.0: Istiqamah dalam Perjuangan yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang bermula hari ini.

Ahmad Zahid berkata, isu berkenaan akan dapat diatasi sekiranya jentera penerangan UMNO lebih agresif menangkis tohmahan menggunakan kaedah konvensional seperti bersemuka dan dalam masa sama turut memanfaatkan platform media sosial untuk memberi penjelasan. - Bernama