Katanya, kerjasama bersama Pas yang telah diadakan pada tiga pilihan raya kecil (PRK) di Selangor selepas PRU-14 akan diteruskan pada PRK selepas ini jika ada, namun masih terlalu awal untuk membicarakan mengenai kerjasama di peringkat nasional.

"Hari ini cukup bersejarah, saya secara peribadi meminta untuk memberi ceramah di sini bersama Pas, ini bukan retorik, ini komitmen kami di UMNO.

"Kami serius dalam soal kefahaman di Seri Setia... Ini permulaan antara UMNO dan Pas, jangan cerita di peringkat nasional dahulu tapi UMNO ikhlas.

"Pas sebagai parti solo terus mengekalkan Kelantan dan merampas Terengganu dalam PRU-14, kalau Pas bekerjasama dalam PRU-15 banyak negeri lagi dan InshaAllah Putrajaya pun boleh kita rampas semula," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata demikian dalam ucapannya di Grand Finale Ceramah Mega Kesatuan Blok Pembangkang N32 Seri Setia di padang bersebelahan Dewan Rela PJS 8, Bandar Sunway di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PRK Seri Setia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pas, Dr. Halimah Ali dan calon PH, Halimey Abu Bakar. - K! ONLINE