Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Datuk Mat Zara’ai, 31, mengumumkan berita tersebut menerusi laman Instagramnya..

“Sangat sedih kerana saya perlu menutup November Culture. Saya sayangkan perniagaan tersebut tetapi sudah tiba masanya untuk saya ucapkan selamat tinggal di atas sebab-sebab tertentu.

“Saya tidak mempunyai sumber kewangan bagi meneruskan perniagaan tersebut sehinggakan terpaksa menukar strategi dengan menjual apa yang boleh bagi mendapatkan wang untuk menyelamatkan perniagaan ini,” tulis Yuna.

Ujar pelantun lagu Dan Sebenarnya itu, dia bagaimanapun berbangga kerana butik pakaiannya itu tidak bergantung kepada mana-mana pihak sepanjang beroperasi.

“November Culture berdikari sepenuhnya. Tiada pelabur malah tiada sesiapa yang memberitahu saya untuk menjual atau menjadikan perniagaan itu laku.

“Hanya saya dan beberapa orang sahaja melakukan apa yang kami suka. Kami memperoleh pengikut dari luar negara dan saya banyak mempelajari selok-belok perniagaan,” jelasnya.

Yuna turut merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat dan mereka yang menyokong perniagaannya itu.

“Butik tersebut masih dibuka dan bakal menjadi studio untuk Tiny Forest Terrarium,” kongsinya lagi. - K! ONLINE