Baginda berdua melawat empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Surau Pulau Tempurung, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor di sini.

Tengku Muhammad Ismail dan adindanya, Tengku Muhammad Mu'az meluangkan masa lebih setengah jam bermesra dengan mangsa banjir di setiap PPS terbabit.

Baginda berdua yang merupakan anakanda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga bermurah hati memberi sumbangan kepada ketua keluarga mangsa banjir di semua PPS tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Osman Mamat, 66, yang berkerusi roda kerana mengalami penyakit strok berkata, dia berharu dengan keprihatinan Tengku Ismail dan adindanya berangkat mencemar duli bermesra dengan mangsa banjir.

"Saya tidak lena tidur hingga sampai bermimpi malam tadi (kelmarin) kerana terlalu teruja untuk bertemu mata dengan baginda berdua buat pertama kali," katanya ketika ditemui di PPS SK Bukit Mentok di sini hari ini. - K! ONLINE