Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya susulan daripada perangkaan terkini operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras dadah di pulau berkenaan yang menyaksikan peningkatan jumlah tangkapan dalam tempoh tiga tahun bermula pada 2017. 

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun lalu sebanyak 1,196 tangkapan membabitkan 826 kes berkaitan dadah dilakukan berbanding tahun sebelumnya iaitu 978 tangkapan melibatkan 732 kes. 

"Malah, dalam tempoh lima bulan tahun ini iaitu dari Januari hingga Mei, 493 tangkapan telah dilakukan melibatkan 358 kes. 

"Saya yakin dan percaya usaha agresif yang dijalankan berterusan oleh pihak polis ditambah sokongan pihak berkuasa lain mampu menangani isu lambakan dadah di Langkawi sekaligus melindungi rakyat khususnya anak-anak muda daripada terjebak dengan gejala pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang ini" katanya di sini hari ini. 

Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu (Bersatu) berkata demikian sebagai mengulas pendedahan sebuah akhbar dalam laporan eksklusif semalam yang mendedahkan mengenai dadah yang bebas dibawa masuk ke pulau peranginan terkenal itu.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang tersebut tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti. - K! ONLINE