Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu disifatkan mampu memartabatkan tulisan jawi dan seni khat yang diguna pakai oleh generasi dahulu, termasuk dalam urusan urusan rasmi kerajaan.

"Pihak yang berasa resah terhadap langkah Kementerian Pendidikan diseru supaya melihat isu ini daripada aspek pendidikan dan warisan sejarah.

"Ini kerana tulisan tersebut sebelum ini telah lama berada dalam jalur budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini tanpa wujud sebarang masalah malah sama-sama digunakan dalam persuratan rasmi dan bukan rasmi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Omar berkata, Yadim berharap agar Kementerian Pendidikan akan bertegas dalam isu tersebut serta tidak tunduk kepada desakan pihak yang menentang langkah itu demi memelihara warisan negara.

Katanya, menerusi langkah itu, Yadim yakin, ia akan meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan jawi dan bahasa Arab selain memudahkan mereka untuk mempelajari al-Quran serta memahami dan beramal dengannya.

"Dengan memartabatkan tulisan jawi dan seni khat, kekayaan seni budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai dengan penggunaan tulisan berbeza mengikut kaum semakin jelas diraikan," katanya.

Sementara itu, Nik Omar berkata, proses silang budaya dalam negara berbilang kaum perlu terus disemarakkan kepada setiap anggota masyarakat dalam mempelajari dan menghormati budaya kaum lain termasuklah bahasa dan tulisan.

"Justeru, masyarakat Melayu juga disaran untuk mempelajari bahasa dan tulisan kaum lain selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menuntut ilmu," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun hadapan akan tetap diteruskan walaupun mendapat tentangan pemimpin DAP dan pertubuhan mewakili pendidikan Cina. - K! ONLINE